CARA MEMOHON ISBN

Apakah Itu ISBN?

International Standard Book Number atau dikenali sebagai ISBN ialah satu kod sepuluh (10) atau tiga belas (13) angka yang diperuntukkan kepada satu judul atau edisi buku yang diterbitkan oleh penerbit tertentu.

ISBN diperoleh daripada International ISBN Agensi yang berpusat di London . Perpustakaan Negara Malaysia telah dilantik sebagai Pusat Kebangsaan ISBN di Malaysia mulai Ogos 1982.

ISBN yang diperoleh hendaklah dicetak di belakang muka surat judul dan belakang kulit buku.

Contoh ISBN :

ISBN 983-99557-1-3 - ISBN 10 angka
atau
ISBN 978-983-99557-1-2 - ISBN 13 angka
(implementasi mulai Januari 2007)

Struktur ISBN

Setiap ISBN mengandungi 13 angka dan didahului dengan perkataan ISBN dalam huruf tebal. ISBN 13 angka ini dibahagikan kepada lima (5) bahagian, tiap-tiap bahagian dipisahkan oleh satu jarak atau tanda sempang.

Penggunaan ISBN

ISBN berasingan perlu diberi kepada:
  • Setiap Judul yang diterbitkan, tetapi TIDAK bagi cetakan semula buku yang sama
  • Setiap Edisi Baru bagi judul yang telah atau pernah diterbitkan, misalnya edisi ke-2, edisi semakan, dll
  • Cetakan semula buku yang dikeluarkan oleh penerbit yang berlainan
  • Buku-buku dalam berlainan format, misalnya edisi kulit keras dan edisi kulit kertas
  • Karya berbilang jilid, iaitu satu ISBN diberi kepada setiap jilid dan satu lagi ISBN diberi kepada seluruh set berkenaan
  • Cetakan semula judul-judul yang tidak ada ISBN
  • Penerbitan bersama. Satu ISBN diberikan kepada penerbit yang bertanggungjawab atas pengedaran
  • Buku-buku yang diimport dari negara atau kawasan yang belum menyertai program ISBN untuk dijual atau diedar oleh agen khas
  • Penerbitan helai cerai
  • Bahan audio-visual pendidikan dan terbitan monograf dalam format tidak bercetak.
  • Contoh: Bahan audio-visual untuk terbitan sekolah-sekolah atau institusi pengajian tinggi (CD-Rom, video, kaset dan lain-lain).
ISBN Tidak Boleh Diguna Semula

Nombor ISBN yang telah diperuntukkan TIDAK BOLEH diguna semula. Adalah menjadi tanggungjawab penerbit untuk memaklumkan kepada Pusat Kebangsaan ISBN sekiranya ISBN yang dipohon tidak digunakan atau terdapat sebarang perubahan pada judul.

Faedah-Faedah ISBN
  • Memajukan dan memudahkan pemesanan dan perolehan buku-buku terbitan Malaysia pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa
  • Mengiklankan penerbit-penerbit Malaysia dalam "Publishers International ISBN Directory (PIID)"
  • Memajukan penjualan buku-buku terbitan Malaysia di pasaran peringkat kebangsaan dan antarabangsa
  • Sebagai butiran penting di dalam deskripsi Bibliografi Negara Malaysia, direktori jualan buku, iklan, katalog penerbit dan entri katalog yang disediakan oleh perpustakaan atau penerbit. 
  • Digunakan sebagai nombor bersiri dalam pengawalan stok bagi judul-judul yang diterbitkan dan memperketat lagi hak milik buku bagi penerbit.
Cara Memohon

Semua judul buku adalah layak dipertimbangkan untuk diberi ISBN dan diberikan PERCUMA oleh Pusat Kebangsaan ISBN. ISBN perlu dipohon sebelum buku dicetak.

Prosedur Permohonan ISBN

1. Penerbit Baru

Melengkapkan set borang permohonan bagi penerbit baru, iaitu:
    i. PNM.PK.PBN (O).02(B1) - Borang Pendaftaran Program ISBN ; dan
    ii. PNM.PK.PBN (O).02(B2) - Borang Permohonan ISBN.
  • Sertakan salinan Sijil Pendaftaran Syarikat/ salinan Kad Pengenalan (individu), salinan kulit buku sebenar dan salinan mukasurat hakcipta.
2. Penerbit Sedia Ada

Melengkapkan set borang permohonan ISBN:
    i. PNM.PK.PBN (O).02(B2) - Borang Permohonan ISBN
  • Sertakan salinan kulit buku sebenar dan salinan mukasurat hakcipta
Maklumat lanjut dan borang permohonan boleh diperolehi dengan menghubungi:

Pusat Bibliografi Negara
Perpustakaan Negara Malaysia 
Aras 3, Anjung Bestari
No. 232, Jalan Tun Razak, 50572 Kuala Lumpur
(U.P: Pusat Kebangsaan ISBN)

Tel. : 03-26814329, 03-26871700 samb 4288
E-mel : isbn@pnm.gov.my

Perkhidmatan Melalui SMS

Taip "PNM_ISBN_" dan hantar kepada 15888
Sistem akan menghantar borang melalui e-mel yang diberi dan dikenakan caj RM0.20 oleh Telco

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Self Publishing : Bagaimana Mencetak Buku Komik dan Novel Grafik